Perbezaan tahap prestasi motor kanak-kanak berdasarkan etnik dan umur kronologi

Jorrye Jakiwa, Pathmanathan K. Suppiah

Abstract


Kemahiran motor kasar merupakan eleman penting yang berkaitan dengan tahap keaktifan seseorang individu dalam sukan dan aktiviti fizikal. Semakin tinggi tahap prestasi motor kasar kanak-kanak maka semakin tinggi juga tahap penglibatan mereka dalam sukan dan aktiviti fizikal. Oleh itu, tujuan kajian ini adalah untuk menilai tahap prestasi motor kasar dalam kalangan kanak-kanak berdasarkan perbezaan etnik dan umur kronologi. Subjek kajian terdiri daripada dua etnik yang berbeza iaitu etnik Melayu (38 orang) dan India (34 orang). Seramai 72 orang kanak-kanak yang berumur di antara 8 dan 9 tahun (8.51 ± .50 tahun) telah melibatkan diri secara sukarela dalam kajian ini. Instrumen yang digunakan untuk menilai tahap prestasi motor kasar kanak-kanak adalah menggunakan Ujian Perkembangan Motor Kasar (TGMD-2). Dua komponen motor kasar yang dinilai iaitu lokomotor dan manipulatif objek. Hasil analisis menggunakan ujian-t, didapati bahawa tidak terdapat perbezaan tahap prestasi motor antara etnik Melayu dan India sama ada secara lokomotor [t (70) = .31, p (.75) > .05] mahupun manipulatif objek [t (70) = 1.65, p (.10) > .05]. Bagi skor ‘Gross Motor Quotient” (GMQ) pula, didapati bahawa etnik Melayu dan India menunjukkan tahap prestasi motor kasar secara kesetaraan umur yang rendah. Kesimpulannya, perbezaan etnik tidak mempengaruhi tahap prestasi motor kanak-kanak sama ada secara lokomotor atau manipulatif objek.

Keywords


TGMD-2, Prestasi Motor Kasar, Etnik, Kemahiran Lokomotor, Kemahiran Manipulatif Objek



DOI: https://doi.org/10.15282/mohe.v9i1.399