Tahap perkembangan motor kasar dalam kalangan murid orang asli di Kelantan dan Johor

Asraff Ariff, Halijah Ibrahim

Abstract


Kajian ini bertujuan untuk membandingkan tahap perkembangan motor kasar kanak-kanak orang asli yang berumur sepuluh tahun di negeri kelantan dan juga Johor dengan menggunakan kaedah Test  of  Gross  Motor  Development-2 (TGMD-2). Kajian ini berbentuk deskriptif yang melibatkan 80 orang subjek (Kelantan:40, Johor:40) yang berumur sepuluh tahun. Ujian TGMD-2 telah dijalankan untuk mengukur tahap perkembangan motor kasar kanak-kanak Orang Asli bagi kemahiran lokomotor dan manipulatif. Skor yang diperolehi ditranskripkan bagi mendapatkan skor GMDQ. Skor-skor ini dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) Versi 22.0 bagi membandingkan min pencapaian motor kasar kanak-kanak Orang Asli di dua negeri yang terlibat. Hasil dapatan menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan bagi GMDQ kanak-kanak Orang Asli yang berumur sepuluh tahun di Kelantan dan johor [F (78) = 2.55, p> .05]. Kajian menunjukkan  subjek  Tahun  Empat di Kelantan mengalami  masalah  yang  sangat  ketara berbanding Johor dalam tiga pembolehubah utama kajian iaitu skor  piawai  lokomotor  (SPL),  skor  piawai  manipulatif  (SPM)  dan   skor  tahap perkembangan  motor  kasar  (GMDQ).  Kumpulan  ini  juga  mengalami  kelewatan  ketara sebanyak 3.59 tahun dalam skor kesetaraan umur lokomotor (AEL) dan skor kesetaraan umur  manipulatif  (AEM)  sebanyak  4.76 tahun berbanding umur asal. Ini menunjukan walaupun kanak-kanak Orang Asli mempunyai tahap kecergasan yang baik namun tahap perkembangan motor kasar mereka masih lagi pada tahap yang lemah. Dicadangkan pada masa akan datang satu pendekatan yang baru dapat dilaksanakan supaya perkembangan motor kasar murid-murid Orang Asli berkembang dengan baik mengikut umur kronologi.

 

Kata kunci: kemahiran motor kasar,kemahiran lokomotor dan kemahiran manipulatif


Full Text:

PDF


DOI: https://doi.org/10.15282/mohe.v8i2.200