Pembentukan instrumen motif penglibatan remaja dalam sukan

Nelfianty Mohd Rasyid, Shaharudin Abdul Aziz, Ruaibah Yazani Tengah

Abstract


Kajian ini bertujuan membentuk instrumen untuk mengenal pasti motif penglibatan remaja  dalam bidang sukan. Instrumen Motif Penglibatan Sukan (MPS) dibina melalui dua fasa penyelidikan iaitu fasa penggubalan item dan ujian psikometrik instrumen. Pengubalan item soal selidik dilakukan mengikut proses Nominal Group Technique terhadap remaja yang aktif dalam sukan. Sebanyak 75 item telah terhasil daripada fasa penggubalan item soal selidik.  Analisis faktor dan nilai pekali Alpha Cronbach digunakan untuk menguji bilangan faktor dan kebolehpercayaan dalaman data. Soal selidik MPS telah ditadbir ke atas 582 orang remaja yang aktif bersukan bagi mendapatkan analisis faktor dan kebolehpercayaan instrumen. Hasil proses analisis komponen prinsipal soal selidik MPS mempunyai 58 item merangkumi sembilan faktor iaitu  Menaikkan Nama Negara, Kesihatan dan Kecergasan, Peningkatan Kemahiran, Inginkan Cabaran, Inginkan Kejayaan, Kebanggaan Keluarga, Kebanggaan Diri, Kestabilan Emosi dan Jaminan Masa Depan. Muatan faktor untuk setiap item adalah dalam julat 0.40 hingga 0.74 dan nilai kebolehpercayaan (alpha) adalah dalam julat 0.66 hingga 0.93. Kesahan kandungan MPS telah dinilai oleh tujuh orang pakar bidang dan telah mengesahkan MPS mempunyai kesahan kandungan dan dapat menguji dengan tepat motif penglibatan remaja dalam bidang sukan. Dapatan kajian ini menunjukkan instrumen MPS mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi dan boleh digunapakai dalam mengenal pasti motif penglibatan remaja dalam sukan.



DOI: https://doi.org/10.15282/mohe.v8i2.308